Thursday 30 June 2011

100 hari

Selepas fasa melahirkan anak, setiap wanita akan melalui proses berpantang. Melayu, Cina, India...ketiga-tiga kaum utama di Malaysia ini mempunyai cara berpantang tersendiri. Cuma apa yang berbeza adalah apa yang dipantangkan dan berapa lama tempoh berpantang mengikut kepercayaan masing-masing. Ada juga wanita moden kini mempersoalkan mengapa perlu berpantang?

Oh!!
Jika soalan itu diajukan kepadaku, jawapannya adalah untuk mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami.
Semua itu "tepuk dada, tanya iman" sendiri!Sejauh mana mampu menahan godaan sepanjang tempoh tersebut. Mungkin aku boleh kongsikan serba sedikit tips-tips berpantang yang aku sendiri jalani sebagai panduan kepada mereka yang bakal melahirkan kelak.

Tempoh berpantang yang aku tetapkan sendiri terbahagi kepada 3 peringkat:
  • 44 hari
  • 60 hari
  • 100 hari
Mengapa sehingga ada 3 tempoh berpantang? Kerana setiap yang dipantangkan mempunyai tempoh yang tertentu. Sumber-sumber ini aku perolehi dari mereka yang lebih tua terutamanya makcik bidan kampung yang mengurutku. Terpulang untuk kalian teliti dan pertimbangkan samada hendak dipraktiskan atau tidak.

44 hari
Ini adalah perkara-perkara standard yang perlu dijaga/dilakukan sepanjang tempoh 44 hari selepas melahirkan:
  • Mengurut - seelok-eloknya berurut selepas 3 hari melahirkan dan diteruskan sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut. Aku sendiri berurut sebanyak 10 kali tetapi tidak berturut-turut (selepas 3 kali diurut berturut-turut, biarkan badan "berehat" untuk sehari dua, kemudian baru disambung semula beberapa kali lagi dan begitulah seterusnya). Rutinku setiap pagi sebelum makcik bidan datang adalah mandi air daun yang bibik sediakan. Tujuannya adalah untuk menyegarkan badan, menghilangkan bau hanyir, memecahkan angin lalu memberi bau yang wangi ke atas tubuh badan. Daun-daun yang digunakan seperti serai wangi dan daun pandan.Aku mengamalkan mandi air daun selama hampir 3 minggu. Selepas mandi dan segar, barulah sesi mengurut bermula! Kelebihan mengurut adalah untuk melancarkan aliran darah, membuang angin, membetulkan semula urat-saraf yang tersimpul sewaktu melahirkan dan banyak lagi!
  • Lulur - Jangan lupa menggunakan lulur untuk melicin, melembut, mencerah dan memutihkan kulit. Tidak semua wanita yang mengandung dikurniakan kulit yang mulus dan bersinar. Kebanyakan kulit wanita sewaktu mengandung amatlah kusam dan tidak bermaya. Jadi, bila lagi hendak memanjakan diri sekiranya bukan sewaktu berpantang. Sekiranya pada hari-hari bekerja, berada 15 minit di dalam bilik air itu sudah dikira lama!
  • Berbengkung - Selepas mengurut, makcik bidan akan menolong aku memakai bengkung. Semua jenis bengkung aku cuba untuk mengempiskan perut!Namakan semua jenis bengkung yang ada.Baik bengkung jawa sepanjang 7 meter, bengkung jenis tali kasut, bengkung moden Amway...semuanya pernah meliliti pinggangku ini. Tapi, yang paling disukai adalah bengkung jenis tali kasut kerana sangat mudah untuk dipakai tanpa memerlukan bantuan orang lain. Yang penting, sebelum memakai bengkung, pastikan sapukan minyak panas/tepel di perut bagi mempercepatkan proses pengempisan tersebut.
*Petua ibu mertua: Campurkan perahan air limau nipis dan kapur.Kacau sehingga sebati dan sapukan ke bahagian perut sebelum berbengkung agar perut tidak menggelember. Percaya atau tidak, hasilnya terbukti kerana beliau telah 8 kali melahirkan anak!

  • Memakai sarung kaki - Ini adalah di antara 'aksesori' utama sewaktu berpantang malah sarung kaki yang tebal (disyorkan memakai stokin bola milik suami, jika ada) adalah lebih baik. Hendaklah dipakai tanpa gagal sebaik sahaja melahirkan (ketika masih lagi di hospital) sehinggalah tamat tempoh 44 hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesejukan dan juga melindungi ibu jari kaki daripada terlanggar apa-apa kerana dikhuatiri akan bentan atau tumpah darah. Sebelum memakai sarung kaki, bolehlah menyapu minyak panas dari tapak kaki sehingga buku lali (aku menggunakan minyak Herbanika NR - akan diulas lanjut) agar badan menjadi lebih hangat!
  • Memakan jamu atau herba - sebaik-baiknya diambil 8-14 hari selepas bersalin (jika dikhuatiri memberi kesan ke atas bayi yang masih menyusu badan). Terdapat pelbagai jenis jamu dan herba di pasaran dan ini memerlukan kebijaksanaan kita sebagai pengguna untuk memilih.
  • Mematuhi larangan makanan - topik yang aku rasakan terlalu luas untuk diceritakan!Mungkin aku perlukan satu post khas untuk ini!
  • Tidak boleh keluar rumah - perkara yang pasti PALING sukar untuk dipatuhi. Masakan dalam tempoh 44 hari tidak boleh langsung menjejakkan kaki keluar rumah? Aku sendiri terpaksa keluar rumah untuk ke hospital kerana Chinta didapati  jaundice pada hari ke-6!

60 hari
Beberapa perkara yang disebutkan sewaktu 44 hari berpantang masih lagi diteruskan sehingga hari ke-60 selepas bersalin. Antaranya:

  • Masih mematuhi larangan makanan - Ingin kembalikan bentuk badan dan berat yang ideal?Inilah masanya!!
  • Makanan yang dimasak 2 kali seperti mee kuning, bee hoon dan laksa kerana dikhuatiri urat kembang. Pantang ini berjaya kuharungi!Alhamdulillah.
*Petua orang Utara: "Puasa" laksa sekurang-kurangnya setahun untuk mengelakkan urat-urat bersalin kembang. Mampukah kita? Kalau dapat bertahan 100 hari...SYUKUR!Setakat ini, aku masih bertahan kerana belum cukup 100 hari lagi tempoh selepas bersalin.
  • Masih mengamalkan campuran perahan limau nipis dan kapur - sudah tidak diamalkan sekerap dulu kerana selalu kehabisan stok limau nipis (ya..ya..hanya alasan!)
  • Masih elakkan benda-benda sejuk seperti air batu dan ice-cream

100 hari
Apa yang perlu dipantangkan sehingga 100 hari? Mengikut petua Melayu lama, 100 hari adalah tempoh berpantang isteri untuk tidak "bersama" dengan suami.

100 hari = 3 bulan 10 hari
Mampukah??

Mengikut doktor pakar sakit puan, si isteri sudah boleh kembali "bersama' suami selepas pemeriksaan yang akan dilakukan 6 minggu selepas bersalin (post-natal checkup)!!

Untuk maklumat lebih lanjut, kalian boleh baca Artikel Seks Selepas Bersalin ini!!

"Tepuk dada...tanya iman!!"
Selamat berpantang...

No comments:

Post a Comment