Showing posts with label Aku. Show all posts
Showing posts with label Aku. Show all posts

Thursday, 13 June 2013

Setengah Mati


Mengapa waktu
Tak pernah berpihak kepadaku
Apakah aku terlalu
Terlalu banyak berkelana

Mengapa kita
masih saja tak pernah bersatu
Selalu saja bertemu bertemu saat
Kau milik yang lain

Mungkin kau bukanlah jodohku
Bukan takdirku
Terus terang

Aku merindukanmu
Setengah mati merindu
Tiada henti merindukanmu
Masih hatiku untukmu
Aku tetap menunggumu

Mengapa waktu
Tak pernah berpihak kepadaku
Apakah aku terlalu
Terlalu banyak berkelana

Mungkin kau bukanlah jodohku
Atau bahkan bukan takdirku
Terus terang

Aku merindukanmu
Setengah mati merindu
Aku merindukanmu
Aku tetap menunggumu

Menuggumu
Menunggumu
Aku tetap menunggumu

JUDIKA

Aku mungkin terlalu 'cengeng'. Dengar lagu sebegini sahaja boleh buatku terlalu sebak dan menangis.

*pause*

Buat aku mengimbau perjalanan hidupku. Mungkin lebih jelas lagi perjalanan aku mengenali cinta.

*pause*

Terlalu banyak kenangan. Terlalu banyak.

Wednesday, 19 October 2011

Aku,Penang dan Mereka : Bahagian 1

Minggu ini outstation lagi. Kali ini ke Georgetown - Syurga Makanan!

Seperti biasa restoran mamak wajib singgah apabila datang ke Pulau Mutiara ini tidak lain tidak bukan Restoran Sup Hameed.@ Penang Road.

Menu-wajib-cuba sudah semestinya Sup Ekor panas dicicah dengan roti Benggali. Selain Sup Ekor, terdapat pelbagai pilihan lain seperti Sup Ayam,Sup Kambing,Sup Daging, Sup Urat dan yang paling istimewa Sup Torpedo.Ada brani??



Nasi kandar kuah banjir juga pasti menambat selera kalian.



Teh tarik di sini boleh buat anda ketagih dan ingin minum lagi dan lagi dan lagi...



Selain menu-menu di atas, Nasi Lemak 50 sen (walaupun harga sebungkus adalah RM1.50 kalau tak silap) dibungkus dengan daun pisang dan surat khabar lama juga antara tarikan di sini. Lebih enak dinikmati bersama sup panas.Lazaaaat!

Takut sesat?
Malu bertanya sesat jalan. Lokasi restoran yang terletak di tepi jalan-raya berhadapan dengan Hotel Malaysia pasti memudahkan pencarian kalian apabila melalui area Penang Road.Tiada alasan untuk tidak singgah!

*Jangan lupa LIKE Sup Hameed Penang Road di Facebook*

TBC

- Posted using BlogPress from my iPhone

Thursday, 30 June 2011

Sawi & Lobak Putih

Entry ini bukan untuk mengulas harga sayur-sayuran di pasar mahupun TESCO. Cuma untuk berkongsi makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan sepanjang tempoh berpantang. Sepanjang 2  minggu berpantang, aku berjaya menurunkan 12kg. Satu pencapaian yang agak memuaskan (walaupun berat badan belum mencapai piawaian sang suami!) untuk aku yang naik berkilo-kilo sewaktu mengandungkan Chinta.

Mengikut petua makcik bidan, sebaik sahaja habis berurut dan berbengkung, terus makan nasi putih panas bersama-sama dengan lauk pantang yang SUNGGUH menyelerakan. Sepanjang tempoh berpantang, aku hanya makan nasi sekali sehari dalam kuantiti yang sedikit berlaukkan sayur sawi dan lobak putih (dipercayai untuk menambah susu badan) yang dimasak bening (orang Melayu beri nama "masak air") dan juga ikan bakar. Ikan bukan sebarang ikan. Ikan yang bibik hidangkan hanyalah ikan bawal putih (mengikut petua orang Cina, ikan ini boleh cepat menyembuhkan luka), ikan haruan yang semua orang tahu khasiatnya (bukan ikan haruan bela tetapi yang memang hidup di parit-parit...terima kasih kepada mereka yang sanggup terjun parit) dan ikan siakap. Ohh, bagi aku yang bukan penggemar ikan ini, tidak tertelan rasanya lauk-pauk sebegini. Jika dihidangkan 1/3 ekor ikan pun, belum tentu luak aku jamah. Lebih kurang 3 minggu makan nasi berlaukkan ikan, barulah menu pantang bertukar kepada sup ayam kampung dan sekali-sekala dapat menikmati hati goreng untuk menambah darah.

Kopi memang aku pantang sejak mula mengandung. Bayangkan seorang peminum kopi tegar harus berpantang hampir 10 bulan!!! Sebagai pengganti kopi, Horlicks dan Milo amat baik untuk menambahkan susu badan. Begitu juga dengan air rebusan longan dan kurma merah (petua seorang tabib Cina) yang bagus untuk ibu-ibu berpantang. Longan dan kurma merah yang direbus bersama-sama dengan halia (untuk membuang angin) di dalam periuk tanah bertujuan untuk melancarkan pembuangan air kecil.

Sekiranya lapar, aku akan ambil oren dan epal merah sebagai alas perut di samping melancarkan proses pencernaan. Sebelah petang, sebaik-baiknya sekitar jam 6, aku ambil 2-3 keping roti serat dan dimakan dengan marjerin atau jem. Apa yang penting adalah lebihkan minum air mineral (walaupun petua orang tua-tua melarang keras pengambilan air yang banyak sewaktu berpantang) seperti yang disyorkan oleh doktor!

Elakkan pengambilan :
  • Sayur-sayuran menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, pucuk ubi, kacang buncis, kacang panjang, timun, petai, petola, labu, terung dan kobis - menyebabkan sakit tulang, lemah sendi dan sejuk otot.
  • Buah- buahan seperti tebu, nenas, belimbing, nangka, cempedak, pisang nangka, pisang embun, pisang masak hijau, ciku, langsat dan tembikai cina - juga menyebabkan sakit tulang, lemah sendi dan sejuk otot.
  • Ikan masin/kering - menyebabkan darah nifas berbau busuk dan cepat kering.
  • Ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, pari, duri, sembilang dan parang - dikhuatiri bisa atau bentan pada pintu rahim.
  • Ikan tamban, tongkol, kembung, cencaru & makanan laut - menyebabkan kegatalan kulit dan alahan.
  • Apa jua jenis makanan berlemak, berminyak & berkolestrol!
Jika ingin kembali sihat, anggun dan ceria...praktikkanlah!!!


100 hari

Selepas fasa melahirkan anak, setiap wanita akan melalui proses berpantang. Melayu, Cina, India...ketiga-tiga kaum utama di Malaysia ini mempunyai cara berpantang tersendiri. Cuma apa yang berbeza adalah apa yang dipantangkan dan berapa lama tempoh berpantang mengikut kepercayaan masing-masing. Ada juga wanita moden kini mempersoalkan mengapa perlu berpantang?

Oh!!
Jika soalan itu diajukan kepadaku, jawapannya adalah untuk mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami.
Semua itu "tepuk dada, tanya iman" sendiri!Sejauh mana mampu menahan godaan sepanjang tempoh tersebut. Mungkin aku boleh kongsikan serba sedikit tips-tips berpantang yang aku sendiri jalani sebagai panduan kepada mereka yang bakal melahirkan kelak.

Tempoh berpantang yang aku tetapkan sendiri terbahagi kepada 3 peringkat:
  • 44 hari
  • 60 hari
  • 100 hari
Mengapa sehingga ada 3 tempoh berpantang? Kerana setiap yang dipantangkan mempunyai tempoh yang tertentu. Sumber-sumber ini aku perolehi dari mereka yang lebih tua terutamanya makcik bidan kampung yang mengurutku. Terpulang untuk kalian teliti dan pertimbangkan samada hendak dipraktiskan atau tidak.

44 hari
Ini adalah perkara-perkara standard yang perlu dijaga/dilakukan sepanjang tempoh 44 hari selepas melahirkan:
  • Mengurut - seelok-eloknya berurut selepas 3 hari melahirkan dan diteruskan sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut. Aku sendiri berurut sebanyak 10 kali tetapi tidak berturut-turut (selepas 3 kali diurut berturut-turut, biarkan badan "berehat" untuk sehari dua, kemudian baru disambung semula beberapa kali lagi dan begitulah seterusnya). Rutinku setiap pagi sebelum makcik bidan datang adalah mandi air daun yang bibik sediakan. Tujuannya adalah untuk menyegarkan badan, menghilangkan bau hanyir, memecahkan angin lalu memberi bau yang wangi ke atas tubuh badan. Daun-daun yang digunakan seperti serai wangi dan daun pandan.Aku mengamalkan mandi air daun selama hampir 3 minggu. Selepas mandi dan segar, barulah sesi mengurut bermula! Kelebihan mengurut adalah untuk melancarkan aliran darah, membuang angin, membetulkan semula urat-saraf yang tersimpul sewaktu melahirkan dan banyak lagi!
  • Lulur - Jangan lupa menggunakan lulur untuk melicin, melembut, mencerah dan memutihkan kulit. Tidak semua wanita yang mengandung dikurniakan kulit yang mulus dan bersinar. Kebanyakan kulit wanita sewaktu mengandung amatlah kusam dan tidak bermaya. Jadi, bila lagi hendak memanjakan diri sekiranya bukan sewaktu berpantang. Sekiranya pada hari-hari bekerja, berada 15 minit di dalam bilik air itu sudah dikira lama!
  • Berbengkung - Selepas mengurut, makcik bidan akan menolong aku memakai bengkung. Semua jenis bengkung aku cuba untuk mengempiskan perut!Namakan semua jenis bengkung yang ada.Baik bengkung jawa sepanjang 7 meter, bengkung jenis tali kasut, bengkung moden Amway...semuanya pernah meliliti pinggangku ini. Tapi, yang paling disukai adalah bengkung jenis tali kasut kerana sangat mudah untuk dipakai tanpa memerlukan bantuan orang lain. Yang penting, sebelum memakai bengkung, pastikan sapukan minyak panas/tepel di perut bagi mempercepatkan proses pengempisan tersebut.
*Petua ibu mertua: Campurkan perahan air limau nipis dan kapur.Kacau sehingga sebati dan sapukan ke bahagian perut sebelum berbengkung agar perut tidak menggelember. Percaya atau tidak, hasilnya terbukti kerana beliau telah 8 kali melahirkan anak!

  • Memakai sarung kaki - Ini adalah di antara 'aksesori' utama sewaktu berpantang malah sarung kaki yang tebal (disyorkan memakai stokin bola milik suami, jika ada) adalah lebih baik. Hendaklah dipakai tanpa gagal sebaik sahaja melahirkan (ketika masih lagi di hospital) sehinggalah tamat tempoh 44 hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesejukan dan juga melindungi ibu jari kaki daripada terlanggar apa-apa kerana dikhuatiri akan bentan atau tumpah darah. Sebelum memakai sarung kaki, bolehlah menyapu minyak panas dari tapak kaki sehingga buku lali (aku menggunakan minyak Herbanika NR - akan diulas lanjut) agar badan menjadi lebih hangat!
  • Memakan jamu atau herba - sebaik-baiknya diambil 8-14 hari selepas bersalin (jika dikhuatiri memberi kesan ke atas bayi yang masih menyusu badan). Terdapat pelbagai jenis jamu dan herba di pasaran dan ini memerlukan kebijaksanaan kita sebagai pengguna untuk memilih.
  • Mematuhi larangan makanan - topik yang aku rasakan terlalu luas untuk diceritakan!Mungkin aku perlukan satu post khas untuk ini!
  • Tidak boleh keluar rumah - perkara yang pasti PALING sukar untuk dipatuhi. Masakan dalam tempoh 44 hari tidak boleh langsung menjejakkan kaki keluar rumah? Aku sendiri terpaksa keluar rumah untuk ke hospital kerana Chinta didapati  jaundice pada hari ke-6!

60 hari
Beberapa perkara yang disebutkan sewaktu 44 hari berpantang masih lagi diteruskan sehingga hari ke-60 selepas bersalin. Antaranya:

  • Masih mematuhi larangan makanan - Ingin kembalikan bentuk badan dan berat yang ideal?Inilah masanya!!
  • Makanan yang dimasak 2 kali seperti mee kuning, bee hoon dan laksa kerana dikhuatiri urat kembang. Pantang ini berjaya kuharungi!Alhamdulillah.
*Petua orang Utara: "Puasa" laksa sekurang-kurangnya setahun untuk mengelakkan urat-urat bersalin kembang. Mampukah kita? Kalau dapat bertahan 100 hari...SYUKUR!Setakat ini, aku masih bertahan kerana belum cukup 100 hari lagi tempoh selepas bersalin.
  • Masih mengamalkan campuran perahan limau nipis dan kapur - sudah tidak diamalkan sekerap dulu kerana selalu kehabisan stok limau nipis (ya..ya..hanya alasan!)
  • Masih elakkan benda-benda sejuk seperti air batu dan ice-cream

100 hari
Apa yang perlu dipantangkan sehingga 100 hari? Mengikut petua Melayu lama, 100 hari adalah tempoh berpantang isteri untuk tidak "bersama" dengan suami.

100 hari = 3 bulan 10 hari
Mampukah??

Mengikut doktor pakar sakit puan, si isteri sudah boleh kembali "bersama' suami selepas pemeriksaan yang akan dilakukan 6 minggu selepas bersalin (post-natal checkup)!!

Untuk maklumat lebih lanjut, kalian boleh baca Artikel Seks Selepas Bersalin ini!!

"Tepuk dada...tanya iman!!"
Selamat berpantang...

Friday, 11 March 2011

Coretan pertama

Hampir setengah dekad tidak menulis. Lenggok bahasa tidak secantik dahulu. Hendak mengatur ayat pun harus bercatur. Takut janggal dan pincang susunannya. Terima kasih untuk dia tersayang kerana menyuntik kembali semangat ini untuk kembali menulis.