Thursday 30 June 2011

Sawi & Lobak Putih

Entry ini bukan untuk mengulas harga sayur-sayuran di pasar mahupun TESCO. Cuma untuk berkongsi makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan sepanjang tempoh berpantang. Sepanjang 2  minggu berpantang, aku berjaya menurunkan 12kg. Satu pencapaian yang agak memuaskan (walaupun berat badan belum mencapai piawaian sang suami!) untuk aku yang naik berkilo-kilo sewaktu mengandungkan Chinta.

Mengikut petua makcik bidan, sebaik sahaja habis berurut dan berbengkung, terus makan nasi putih panas bersama-sama dengan lauk pantang yang SUNGGUH menyelerakan. Sepanjang tempoh berpantang, aku hanya makan nasi sekali sehari dalam kuantiti yang sedikit berlaukkan sayur sawi dan lobak putih (dipercayai untuk menambah susu badan) yang dimasak bening (orang Melayu beri nama "masak air") dan juga ikan bakar. Ikan bukan sebarang ikan. Ikan yang bibik hidangkan hanyalah ikan bawal putih (mengikut petua orang Cina, ikan ini boleh cepat menyembuhkan luka), ikan haruan yang semua orang tahu khasiatnya (bukan ikan haruan bela tetapi yang memang hidup di parit-parit...terima kasih kepada mereka yang sanggup terjun parit) dan ikan siakap. Ohh, bagi aku yang bukan penggemar ikan ini, tidak tertelan rasanya lauk-pauk sebegini. Jika dihidangkan 1/3 ekor ikan pun, belum tentu luak aku jamah. Lebih kurang 3 minggu makan nasi berlaukkan ikan, barulah menu pantang bertukar kepada sup ayam kampung dan sekali-sekala dapat menikmati hati goreng untuk menambah darah.

Kopi memang aku pantang sejak mula mengandung. Bayangkan seorang peminum kopi tegar harus berpantang hampir 10 bulan!!! Sebagai pengganti kopi, Horlicks dan Milo amat baik untuk menambahkan susu badan. Begitu juga dengan air rebusan longan dan kurma merah (petua seorang tabib Cina) yang bagus untuk ibu-ibu berpantang. Longan dan kurma merah yang direbus bersama-sama dengan halia (untuk membuang angin) di dalam periuk tanah bertujuan untuk melancarkan pembuangan air kecil.

Sekiranya lapar, aku akan ambil oren dan epal merah sebagai alas perut di samping melancarkan proses pencernaan. Sebelah petang, sebaik-baiknya sekitar jam 6, aku ambil 2-3 keping roti serat dan dimakan dengan marjerin atau jem. Apa yang penting adalah lebihkan minum air mineral (walaupun petua orang tua-tua melarang keras pengambilan air yang banyak sewaktu berpantang) seperti yang disyorkan oleh doktor!

Elakkan pengambilan :
  • Sayur-sayuran menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, pucuk ubi, kacang buncis, kacang panjang, timun, petai, petola, labu, terung dan kobis - menyebabkan sakit tulang, lemah sendi dan sejuk otot.
  • Buah- buahan seperti tebu, nenas, belimbing, nangka, cempedak, pisang nangka, pisang embun, pisang masak hijau, ciku, langsat dan tembikai cina - juga menyebabkan sakit tulang, lemah sendi dan sejuk otot.
  • Ikan masin/kering - menyebabkan darah nifas berbau busuk dan cepat kering.
  • Ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, pari, duri, sembilang dan parang - dikhuatiri bisa atau bentan pada pintu rahim.
  • Ikan tamban, tongkol, kembung, cencaru & makanan laut - menyebabkan kegatalan kulit dan alahan.
  • Apa jua jenis makanan berlemak, berminyak & berkolestrol!
Jika ingin kembali sihat, anggun dan ceria...praktikkanlah!!!


No comments:

Post a Comment